PEGAWAI JAIS SALAH GUNA KUASA DIDAKWA

2017/08/04

SHAH ALAM: Seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan salah guna kuasa membabitkan wang tunai RM10,000 pada Februari tahun lalu.

 

Tertuduh iaitu pegawai dakwah di Pejabat Agama Islam Hulu Langat, Hairul Nizan Mhd Idris, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan jawatannya bagi mengemukakan permohonan dan syor pembekalan syarikat Prisma Jaya Kini Resources, milik abangnya bagi Majlis Tilawah Al-Quran peringkat daerah Hulu Langat berjumlah RM10,000.

 

Perbuatan itu dilakukan pada 1 Februari 2016 di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

 

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

 

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah atau nilai suapan.

 

Rozilah menetapkan ikat jamin RM20,000 dan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula.

 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Hamidi Mohd Noh.

Hamidi Mohd NohComment