PEMBUAT ROTI MENGAKU TIDAK BERSALAH KELUAR KENYATAAN HINA POLIS

2016/09/21

SEREMBAN: Seorang pekerja kilang roti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menghina polis melalui laman sosial Facebook, April tahun lalu.

Idris Md Nasir, 44, meminta dibicarakan selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim G Ramesh.

Dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di sebuah rumah di Jalan Anggerik 12, Taman PD Utama, Port Dickson, pada jam 5.07 petang, 23 April tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(1)(A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Dia boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, serta boleh didenda RM1,000 sehari jika kesalahan itu diteruskan selepas sabitan dibuat.

Hakim menetapkan ikat jamin RM4,000 dan sebutan semula kes pada 19 Oktober depan. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Abd Rashid, manakala tertuduh diwakili peguam, Hamidi Mohd Noh.

Hamidi Mohd Noh1 Comment