SPRM SELESAI RAKAM KETERANGAN ZAHID

2018/10/12

PUTRAJAYA: Selepas tiga hari memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberitahu proses berkenaan sudah selesai sepenuhnya.

 

Zahid berkata, pihak SPRM berpuas hati dengan kerjasama yang diberikannya selain turut bersedia kembali sekiranya masih ada butiran dan maklumat lain yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

 

“Sepanjang proses merakam percakapan ini saya memberikan kerjasama sepenuhnya tanpa melindungi apa-apa maklumat (nothing to hide), dan saya harap tindakan ini dapat menjelaskan kekeliruan yang wujud dikalangan masyarakat di luar sana.

 

“Saya harap tindakan sama seperti yang saya lakukan harus diikuti oleh mana-mana pihak yang apabila dipanggil untuk memberikan keterangan, berikanlah kerjasama sepenuhnya kepada pegawai SPRM,” katanya sebaik sesi siasatan ke atasnya selesai dijalankan sebentar tadi.

 

Katanya, beliau amat menghargai tindakan dilakukan oleh pegawai dan kakitangan suruhanjaya berkenaan yang dianggap menjalankan tugas dengan penuh profesional sepanjang proses siasatan berlangsung bermula Rabu lalu.

“Saya juga dalam pada itu bersedia untuk datang semula memberikan keterangan sekiranya maklumat-maklumat sebelum ini tidak memenuhi keperluan dalam penyiasatan mereka (SPRM),” katanya.

 

Beliau berkata, sepanjang proses berkenaan, dirinya sudah memberikan butiran terperinci siasatan bagi menjelaskan tujuh perkara yang menjadi bahan untuk siasatan.

 

Namun Zahid tidak menjelaskan butiran atau maksud mengenai tujuh perkara yang dinyatakannya.

 

Berdasarkan maklumat sumber, siasatan yang dijalankan ke atas Presiden UMNO itu adalah merujuk kepada penggunaan dana dalam Yayasan Akal Budi sebanyak RM800,000 yang digunakan untuk menjelaskan bayaran kredit miliknya.

 

Proses siasatan oleh SPRM hari ini bermula jam 9.30 pagi tadi sebelum berhenti pada jam 12.10 tengah hari untuk sembahyang Jumaat.

 

Proses siasatan berkenaan bersambung semula pada jam 3.10 petang sehingga jam 7.40 malam tadi.

 

Hamidi Mohd NohComment